mutakhir

Konsep BELI pasar pagi, malam Selangor [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PENDUDUK Selangor boleh ke 417 pasar pagi, pasar malam dan bazaria di seluruh negeri dengan mengamalkan konsep BELI, bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han berkata, menerusi konsep itu orang awam perlu mengamalkan beberapa perkara ketika kunjungan.

Antaranya, pembayaran alternatif e-Wallet diperkenalkan dan mereka perlu membeli mengikut amalan normal baharu.

"Konsep BELI adalah orang ramai perlu beratur dan amalkan penjarakan sosial, menggunakan e-Wallet sebagai alternatif pembayaran, lajukan proses pembelian dan sentiasa mengimbas QR kod.

"Memandangkan operasi perniagaan ini berbeza-beza di setiap lokasi, kerajaan negeri bersetuju supaya kaedah pengurusan dan kawalan bagi pembukaannya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditentukan oleh setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ia perlu mengikut kesesuaian dan keupayaan di kawasan masing-masing berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai rujukan," katanya pada sidang media selepas melawat tapak pasar pagi Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Bandar Puchong Jaya, Puchong, hari ini.

Menurutnya, pasar dan bazaria itu dibuka secara berperingkat dan konsep BELI sebagai rujukan normal baharu orang awam.

Ng berkata, PBT juga disaran melaksana laluan sehala bagi memudahkan kawalan ke atas pengunjung, namun ia tertakluk kedudukan pasar.

"Peniaga juga dilarang menggunakan khidmat warganegara asing dalam aktiviti perniagaan dan kerajaan negeri tidak teragak-agak menutupnya semula jika tidak mengikut SOP ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, pasar pagi di Puchong adalah yang pertama dibuka di kawasan pentadbirannya, hari ini dan menggunakan sistem penggiliran berniaga bagi menjaga jarak sosial.

"Ada 60 tapak namun hanya 25 peniaga yang sedia berniaga hari ini. Walaupun sistem penggiliran mungkin menjejaskan pendapatan mereka, ia lebih baik daripada tidak memperoleh pendapatan langsung kerana kita tidak mahu ada kluster baharu Covid-19 di pasar pagi atau pasar malam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 10:57am
    d