mutakhir

Semco Taman Langat Utama dan Langat Murni tamat hari ini

Oleh Samadi Ahmad

PERINTAH Kawalan Pergerakan Pentadbiran (Semco) di Taman Langat Utama dan Langat Murni di Bukit Changgang, Kuala Langat, ditamatkan hari ini.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata, perintah itu ditamatkan pada 11 pagi, selepas Kementerian Kesihatan (KKM) sudah selesai melakukan ujian saringan ke atas semua penduduk di kawasan terbabit.

"Seramai sembilan individu disahkan positif Covid-19 dan masih dirawat di Hospital Sungai Buloh.

"Daripada jumlah itu, enam rakyat tempatan dan tiga masing-masing warga Nepal, Bangladesh serta Thailand disahkan positif Covid-19," katanya pada sidang media hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman.

Taman Langat Utama dan Langat Murni diletakkan di bawah Semco bermula 2 Jun lalu, selepas 20 warga asing yang bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tinggal di taman berkenaan disahkan positif Covid-19, pada 28 Mei lalu.

Ia adalah Semco terbesar di negara ini membabitkan kawasan pentadbiran seluas 43.3 hektar dengan dipasang kawat duri seluas 4.1 kilometer serta didiami kira-kira 9,000 penghuni dengan 30 peratus daripadanya rakyat asing.

Mohd Jusni berkata, kajian mendapati kesemua yang disahkan positif Covid-19 tiada kaitan dengan pekerja warga Bangladesh berkenaan.

Menurutnya, pesakit yang disahkan positif menerima jangkitan dari luar yang terdedah dengan persekitaran dan tidak mengamalkan penjagaan kesihatan dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Saya turut mengucapkan terima kasih kepada 664 anggota barisan hadapan yang bertungkus-lumus bertugas sepanjang Semco bagi mengekang wabak Covid-19 di kawasan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 12:13pm
    d