mutakhir

PKPP: 17 tapak pembinaan ditutup

Oleh BERNAMA

DALAM tempoh 20 April hingga 14 Jun lalu, sebanyak 17 tapak pembinaan di seluruh negara diarah tutup operasi buat sementara selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tapak terbabit antara 7,699 lokasi yang diperiksa oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam tempoh berkenaan.

Selain itu, 370 tapak pembinaan yang tidak patuh diberikan amaran, katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan projek Bukit Bintang City Centre bagi memantau SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Fadillah, selain tidak patuh SOP, syarikat pembinaan terbabit juga tidak menerima kelulusan beroperasi daripada kerajaan negeri.

Sementara itu, ditanya mengenai kegusaran pemaju akan dikenakan penalti kerana projek lewat disiapkan, beliau berkata perkara tersebut akan diselesaikan menerusi undang-undang berkaitan Covid-19.

Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang Covid-19 (Langkah-langkah Sementara) apabila Parlimen bersidang bulan depan, katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 4:34pm
    d