mutakhir

12 penyeludup antara ditahan di lorong tikus

Oleh Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi

SERAMAI 850 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 153 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara melalui lorong tikus sejak 1 Mei hingga semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut ditahan 12 individu yang disyaki penyeludup serta 18 kapal.

Semua yang ditahan menerusi Operasi (Ops) Benteng membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem).

Menurutnya, operasi bersepadu itu bagi mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi Pati sekali gus mengekang jenayah rentas sempadan selain basmi penularan Covid-19.

"Dalam masa sama, PDRM juga jalankan 68 Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara berbanding 66 SJR Ops Benteng pada Isnin dan memeriksa 40,880 kenderaan.

"PDRM menahan enam warganegara asing semalam dan empat lagi pada hari sebelumnya di SJR atas kesalahan imigresen," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dengan agensi penguat kuasa terus memperketat kawalan di sempadan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 3:15pm
    d