mutakhir

Kolej seperti tongkang pecah, dipenuhi najis

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

BILIK bersepah seperti tongkang pecah, dipenuhi najis dan ada bangkai kucing antara keadaan yang dialami penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang diberi kebenaran mengambil barang di kolej dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Keadaan itu dikongsikan seorang pemilik Twitter @thechimchims dan mendapat lebih 18,000 ulang ciap dan 22,000 tanda suka.

Menurutnya, dia meninggalkan kolej kediamannya di Selangor dalam keadaan teratur namun terkejut apabila menemui bangkai kucing selepas tiga bulan tidak pulang ke asrama susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya tidak pasti punca kucing itu terperangkap dalam bilik, mungkin rakan bilik atau warden kolej yang terakhir terbuka pintu bilik.

"Semasa saya tinggalkan bilik dalam keadaan bersih, bersepah mungkin sebab kucing itu kelaparan mencari makanan," katanya dalam ciapan di Twitter.

Pada hantaran sama, ramai pengguna Twitter lain yang terdiri daripada penuntut IPT berkongsi pengalaman sama.

Menerusi ciapan @NajibKhalil berkongsi video tilam dipenuhi najis kucing.

Selain itu, @warmblushie turut berkongsi biliknya yang berselerak dipercayai dimasuki monyet.

Dalam perkembangan sama, seorang penuntut kolej swasta di Negeri Sembilan turut berkongsi kisah sedih apabila biliknya dipecah masuk dan kehilangan komputer riba yang dibelinya dengan menabung.

Penuntut Diploma Pendidikan Awal Kanan-Kanak, Nor Elesza Ismail, 20, berkata, kejadian itu adalah yang pertama berlaku di asramanya.

"Sebelum pulang ke kampung di Sungai Besar, Selangor, saya meletakkan barangan berharga dalam almari yang dikunci tetapi tidak sangka boleh hilang.

"Rakan sebilik juga mengalami nasib sama apabila kehilangan komputer riba, mesin pencetak, tabung, seterika dan beberapa barangan berharga lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Tambahnya, dia dan rakan membuat laporan polis susulan kejadian itu tetapi belum mendapat sebarang maklum balas.

"Saya harap selepas ini pihak pengurusan asrama lebih peka dengan aspek keselamatan di tempat tinggal pelajar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 6:33pm
    d