mutakhir

Rakyat Singapura, Brunei dibenar masuk jika...

Oleh Isma Ismail dan Sri Ayu Kartika Amri

KERAJAAN bersedia untuk membuka pintu kepada warga Singapura dan Brunei masuk ke negara ini, sekiranya negara itu juga memberi kelonggaran yang sama.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada dasarnya kerajaan bersetuju untuk membuka pintu kepada rakyat kedua negara itu tanpa mereka perlu memohon kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurutnya, mesyuarat menteri-menteri bersetuju untuk memberi kebebasan mereka itu keluar masuk ke negara ini.

Katanya, kedua negara terbabit sudah tetapkan sebagai zon hijau seperti yang ditentukan sendiri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagaimanapun, di sebalik kebebasan yang kita berikan kepada mereka, kita juga perlukan kelonggaran yang sama diberikan kepada rakyat kita.

"Perkara ini sedang dibincangkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar kita dengan Singapura dan keputusan kelonggaran itu akan dibuat hasil daripada perbincangan itu.

"Kalau mereka bersetuju, kita setuju. Kita tunggulah capaian hasil rundingan antara KSU kedua negara itu nanti," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melonggarkan beberapa aspek dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk membenarkan penuntut untuk ke luar negara dan sebaliknya bagi meneruskan pengajian.

Menurutnya, kerajaan juga membenarkan pekerja yang berkepentingan dan profesional untuk masuk ke negara ini.

Katanya, mereka itu dibenarkan untuk masuk ke negara ini tanpa perlu mohon kebenaran JIM tetapi perlu lakukan saringan Covid-19 di negara asal atau di pintu masuk negara ini.

"Kalau didapati negatif Covid-19, mereka juga tidak perlu dikuarantin wajib selama 14 hari jika datang dari negara zon hijau, sekiranya dari zon merah perlu juga dikuarantin wajib di rumah dan mesti juga muat turun aplikasi MySejahtera.

"Negara di zon merah atau hijau akan ditetapkan oleh KKM yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

KKM akan maklum dr semasa ke semasa," katanya.

Selain itu, Ismail turut memberi kelonggaran kepada pelancong yang mahu masuk ke negara ini untuk mendapatkan rawatan dan hanya perlu mendaftar dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 3:10pm
    d