mutakhir

Bandar Hilir kembali 'hidup'

Oleh Nazri Abu Bakar

PUSAT pelancongan terkenal Bandar Hilir kembali menjadi tumpuan pelancong ketika perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memasuki minggu kedua.

Peniaga kraftangan, Mohammad Mahmud, 53, berkata, peniaga kecil di kawasan itu menarik nafas lega dengan perkembangan berkenaan termasuk di Menara Taming Sari, Jonker Walk dan Melaka River Cruise.

Katanya, sebelum ini kawasan berkenaan sunyi daripada kunjungan pelancong, kini kembali aktif dengan peniaga sudah membuka premis masing-masing sambil mematuhi Prosedur Operasi Stardard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Pengunjung turut mematuhi SOP PKPP, sekali gus menyokong usaha pencegahan dan langkah pemulihan dalam mengekang Covid-19.

"Pastinya saya amat teruja berikutan pengayuh beca sudah beroperasi seperti biasa selepas lebih tiga bulan mereka hilang pendapatan.

"Ia berikutan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada 18 Mac lalu, industri pelancongan di bandar raya ini sudah sunyi lebih awal akibat kebimbangan terhadap jangkitan wabak berkenaan," katanya.

Pelancong dari Johor, Ross Adley Mohd Yusoff, 54, berkata, dia mengambil kesempatan untuk bercuti di Melaka selepas sekian lama berada di kediaman di Pasir Gudang akibat tidak dibenarkan merentas negeri.

Katanya, dia berpeluang membawa anaknya melancong berikutan sekolah masih belum dibuka setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 3:21pm
    d