mutakhir

28 individu pulang ke tanah air positif Covid-19

Oleh Amir Abd Hamid

SERAMAI 28 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, positif Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua individu itu sudah dihantar ke hospital untuk menjalani rawatan.

Menurutnya, seramai 358 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui KLIA dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Hong Kong, China dan Jepun semalam.

"Sejak 10 Jun sehingga semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membuat saringan ke atas 5,451 individu di pintu masuk KLIA.

"Daripada jumlah ini, 5,423 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini di Putrajaya dekat Kuala Lumpur, mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-100 dan hari ke-16 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 113 tapak binaan di seluruh Malaysia yang membabitkan 161 penguat kuasa.

Menurutnya, daripada jumlah itu didapati 72 tapak binaan patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan manakala 11 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran manakala 30 tapak binaan tidak beroperasi.

"Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,372 tapak binaan dan 457 tapak binaan tidak patuh SOP serta diberi amaran.

"Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak pembinaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 5:42pm
    d