mutakhir

Agong tinjau sesi sekolah SMK Danau Kota [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau sesi persekolahan untuk pelajar Tingkatan Lima dan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, Setapak, hari ini.

Baginda juga mengetepikan protokol dan berkenan beramah mesra dengan pelajar sekolah yang memulakan semula sesi persekolahan Rabu lalu selepas hampir tiga bulan sekolah ditutup susulan pandamik Covid-19.

Bernama melaporkan Seri Paduka, diiringi anakandanya Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, berangkat tiba di sekolah berkenaan pada 10 pagi, disambut Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin, pegawai tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Ia adalah lawatan kerja pertama Seri Paduka yang diadakan di luar Istana Negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Sejurus tiba, guru bertugas terlebih dulu membuat pemeriksaan suhu ke atas baginda sebelum Al-Sultan Abdullah berkenan memakai cecair pembasmi kuman yang diletakkan di atas alat hasil inovasi pelajar sekolah itu, yang hanya memerlukan seseorang memijak alat berkenaan untuk mengeluarkan cecair berkenaan.

Seri Paduka kemudiannya berkenan menerima sembah taklimat berkenaan pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah KPM dan tatacara kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi oleh guru, murid dan ibu bapa atau penjaga bagi mencegah penularan Covid-19.

Sementara itu, Istana Negara dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, keberangkatan baginda itu mencerminkan keprihatinan tinggi terhadap keselamatan dan kesihatan guru serta pelajar yang kembali ke sekolah selepas hampir tiga bulan ditutup berikutan penularan Covid-19.

"Baginda menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekolah dan guru di atas kesiapsiagaan serta persediaan rapi bagi menjamin keselamatan.

"Baginda turut menasihati mereka agar bersabar menjalani sesi persekolahan dengan tatacara kebiasaan baharu dan sentiasa berdisiplin menjaga kebersihan diri serta mematuhi garis panduan ditetapkan," kata kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah turut mendoakan semua guru dan pelajar di seluruh negara dipermudahkan segala urusan dan dilindungi Allah SWT.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 1:27pm
    d