mutakhir

Peniaga pasar pagi dibenarkan beroperasi

Oleh Mohd Amin Jalil

KIRA-KIRA 50 penjaja kecil pasar pagi di City Park, Seremban 2, Seremban, menarik nafas lega apabila mereka diberikan kebenaran menjalankan perniagaan mulai semalam, walaupun mendapat bantahan daripada pemilik premis di situ.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, sebelum ini pasar pagi terbabit beroperasi di hadapan premis dan pemilik premis berdekatan membantah kewujudannya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Keluarga, Wanita dan Masyarakat negeri berkata, bagaimanapun hasil perbincangan dan kesepakatan dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), semua peniaga dipindahkan ke kawasan lebih strategik di bahagian belakang premis terbabit.

Katanya, pihaknya menyambut baik usaha dilakukan MBS yang berjaya menyelesaikan permasalahan membabitkan penjaja berkenaan.

"Kami berharap penganjur pasar pagi ini mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MBS kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menangani penyebaran Covid-19.

"MBS akan terus memantau dan sekiranya mereka gagal mematuhi SOP, tindakan sewajarnya akan diambil," katanya selepas melakukan tinjauan di Pasar Pagi City Park Seremban 2, hari ini.

Nicole berkata, pematuhan SOP sangat penting bagi memastikan masyarakat turut berperanan dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Katanya, pihaknya sudah memberitahu penganjur pasar pagi itu yang beroperasi setiap hari bermula 7 sehingga 11 pagi supaya semua penjaja membersihkan kawasan tapak masing-masing sebaik tamat tempoh berniaga.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 6:47pm
    d