mutakhir

Tragedi bot terbalik: 'Hanya fikir mati' [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

"SELEPAS hampir sejam berada di lautan dengan hanya berpaut pada bot nelayan, malah dua kali hampir lemas akibat ombak yang kuat menyebabkan saya hanya fikir mati pada waktu itu," luah Haris Mat Yasin, 50.

Haris, mangsa yang terselamat dalam tragedi bot terbalik kejadian di kawasan perairan Kuala Kemasin, Bachok, 8.30 malam tadi.

Menurutnya, kejadian berlaku bermula dengan hujan lebat secara tiba-tiba ketika mereka baru mula mencandat sotong selain berlaku ribut disusuli ombak setinggi lebih tiga meter yang menghempas bot mereka.

"Dalam keadaan yang kelam-kabut, saya dan beberapa rakan lain sempat terjun ke laut melalui tingkap bot kerana tidak mahu terperangkap jika ia terbalik.

"Saya bernasib baik selepas dibantu seorang lagi mangsa yang menyuruh saya berpaut pada bot separuh tenggelam itu.

"Tidak dapat saya bayangkan keadaan ketika itu yang bukan sahaja dalam gelap-gelita malah kami dihempas ombak kuat.

"Apa yang saya ingat, tekong bot berenang meninggalkan kami untuk cuba mendapatkan pertolongan dari bot nelayan yang berhampiran.

"Hanya beberapa orang sahaja yang saya dapat lihat dengan jelas, masing-masing lemah berpaut dan bertahan untuk selamatkan diri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang To'la di Pasir Mas hari ini.

Haris yang sudah beberapa mencandat sotong sebelum ini berkata, tragedi terbabit adalah pengalaman paling tragis dilaluinya selain masih lagi trauma dengan kejadian itu.

"Sebaik ada nelayan yang datang membantu, saya berasa lega serta bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan selamat dalam tragedi ini. Saya diberikan minuman sebaik diselamatkan kerana berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

"Sekarang, hanya wajah rakan-rakan lain yang bermain di fikiran terutama empat yang masih hilang dan terkorban. Saya hanya berdoa semoga mereka semua ditemui segera.

"Selepas melalui pengalaman ini, saya berasa serik untuk ke laut kerana ia pengalaman yang sangat menakutkan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Empat pemancing maut, empat hilang
  • Operasi SAR kesan 4 pemancing diteruskan
  • 'Sempat rayu suami tak ke laut' [METROTV]
  • 'Dia teruja lain macam...'
  • Tragedi bot terbalik: Tiga dirawat di wad masih trauma
  • Tragedi bot terbalik: Firasat ibu jadi kenyataan
  • Tragedi bot terbalik: 'Saya berpaut pada pelampung pukat'
  • Tragedi bot terbalik: PDRM guna helikopter kesan bot
  • Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 1:17pm
    d