mutakhir

Muhammad Danish ditemui lemas

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

KANAK-kanak yang dikhuatiri hilang ketika mandi di Sungai Perak berdekatan Kampung Loh, Karai, Sungai Siput, semalam ditemui lemas hari ini.

Mayat Muhammad Danish Irfan Mohd Baharudin, 6, ditemui terapung oleh orang awam pada 10.08 pagi, empat kilometer dari lokasi mangsa dihanyutkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, operasi pencarian mangsa diteruskan mulai 8 pagi hari ini selepas ditangguhkan malam tadi.

"Jarak pencarian diperluaskan sehingga tujuh kilometer menggunakan teknik pencarian di permukaan.

"Mangsa ditemui pada 10.08 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian membabitkan enam bot dan 35 anggota termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam dan orang awam.

Dalam kejadian semalam, Muhammad Danish Irfan dilaporkan hanyut dibawa arus deras ketika sedang mandi bersama abang kembar serta kakaknya yang berusia tujuh tahun di sungai itu pada 2 petang.

Turut mandi bersama adalah dua saudara mangsa dalam lingkungan usia hampir sebaya, dengan kelima-lima mereka ditemani ibu saudara mangsa berusia 27 tahun.

Berita berkaitan

'Sempat juga anak bergurau, peluk dan cium saya'

Tragedi mandi Sungai Perak

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 2:15pm
d