mutakhir

Tiga mangsa hilang mungkin hanyut [METROTV]

Oleh Nor Amalina Alias

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan tidak menolak kemungkinan tiga mangsa bot terbalik yang masih hilang dipercayai sudah dihanyutkan arus.

Ini berikutan operasi dilakukan JBPM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) gagal menemui mereka selepas dua kali selaman dibuat di dalam dan sekitar bot berkenaan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Penguasa Bomba Mohd Farid Ismail berkata, selaman pertama dibuat di lokasi kejadian di tengah laut, semalam menemui mayat kelima, Ahmad Syafiq Che Alim, 29, di ruang rehat bot itu.

"Selaman kedua pula dibuat selepas bot berkenaan ditunda dan dibawa ke muara Kuala Kemasin, petang semalam.

"Namun, setakat ini tiada mangsa lain dijumpai, jadi ada kemungkinan mereka sudah dihanyut keluar atau memang tiada dalam bot selepas kejadian ribut berlaku," katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Kemasin, Bachok, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedang mengadakan perbincangan sekiranya memerlukan operasi selaman kali ketiga dilakukan.

Katanya, selaman kali kedua mengambil masa lebih sejam membabitkan pemeriksaan menyeluruh di bahagian bawah dan dalaman bot.

"Sementara menunggu keputusan operasi selaman, kita jalankan operasi pencarian di dasar dengan bomba membuat pencarian tiga batu nautika dari darat, manakala APMM membuat pencarian di laut," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, setakat ini pihaknya sudah membuat pencarian dasar membabitkan jarak lebih 20 kilometer.

Katanya, seramai lima anggota bomba termasuk dua anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ditugaskan dalam operasi berkenaan.

"Operasi pencarian membabitkan kawasan dari Jeti Perikanan Kemasin ke Pantai Canggong dan kita berpatah balik ke jeti hingga ke Kuala Besar," katanya.

Selain JBPM, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan APMM dan agensi lain dengan jarak pencarian diperluas daripada 162 batu nautika ke 324 batu nautika.

Mangsa yang masih hilang adalah Harun Daud, 57, Che Wadi Bakar, 40-an dan Arman Ismail,43.

Berita berkaitan

  • 'Suami tak tenang, masih meracau'
  • Tiga masih belum ditemui
  • Tragedi bot terbalik: SAR ditangguh [METROTV]
  • Tragedi bot terbalik: 'Hanya fikir mati'
  • Empat pemancing maut, empat hilang
  • Operasi SAR kesan 4 pemancing diteruskan
  • 'Sempat rayu suami tak ke laut' [METROTV]
  • 'Dia teruja lain macam...'
  • Tragedi bot terbalik: Tiga dirawat di wad masih trauma
  • Tragedi bot terbalik: Firasat ibu jadi kenyataan
  • Tragedi bot terbalik: 'Saya berpaut pada pelampung pukat'
  • Tragedi bot terbalik: PDRM guna helikopter kesan bot
  • Tragedi bot terbalik: 'Saya berpaut pada pelampung pukat'
  • Tragedi bot terbalik: PDRM guna helikopter kesan bot
  • Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 3:21pm
    d