mutakhir

15 premis perniagaan tak patuh SOP

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEBANYAK 15 premis diberi nasihat kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan 1,885 premis diperiksa melalui pemeriksaan khas pematuhan SOP dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), 1,870 didapati mematuhi SOP ditetapkan.

"Semalam, penguat kuasa KPDNHEP membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 815 premis perniagaan termasuk peruncit (612), pemborong (173) dan pengilang (30).

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media di Putrajaya mengenai laporan perkembangan harian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-107 dan hari ke-22 PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) juga membuat pemantauan di peringkat pengeluar makanan dan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi.

Beliau menggesa pengusaha dan orang ramai supaya mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 3:48pm
    d