mutakhir

Culik, bunuh Datuk Seri: 4 disambung reman

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

EMPAT individu yang disyaki terbabit dalam kes penculikan dan pembunuhan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri disambung reman hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat berkata, kesemua suspek termasuk seorang warga Bangladesh disambung reman lima hari sehingga 6 Julai ini.

Menurutnya, ia bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 3(3) Akta Culik 1961 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini, seramai 11 tangkapan dibuat iaitu 10 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian disebabkan masalah hutang serta perniagaan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, laporan bedah siasat mangsa masih belum diperoleh.

Menurutnya, proses bedah siasat yang dilakukan hari ini akan disambung semula pada 2.45 petang esok.

Sabtu lalu, mayat dipercayai ahli perniagaan itu ditemui dibuang di lereng bukit di kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya.

Mangsa sebelum itu diculik ketika berjoging di taman permainan Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara pada 10.30 pagi, 10 Jun lalu dan dikurung di sebuah rumah di Taman Kosaso, Rawang.

Berita berkaitan

Culik Datuk Seri: Kes diklasifikasikan bunuh

Pembunuhan Datuk Seri bermotifkan wang

Dalang kes bunuh pernah jadi calon DUN Selangor

Kes culik, bunuh Datuk Seri: Polis buru EL

Datuk jadi dalang

Tebusan RM154 juta diminta [METROTV]

Datuk Seri diculik ditemui mati

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 4:14pm
d