mutakhir

PKPP: Boleh solat Jumaat di surau, dewan sesuai [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SURAU dan dewan yang sesuai diberi kebenaran untuk menunai solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis

Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-7 yang bersidang pada 24 Jun.

Menurutnya, resolusi itu adalah pelaksanaan Solat Jumaat dalam tempoh PKPP diperlukan dengan memberi kebenaran kepada surau dan dewan yang sesuai untuk mendirikan Solat Jumaat.

"Memaksimumkan penggunaan kawasan atau ruang solat di masjid dan Surau Jumaat yang sedia ada ada.

"Bagaimanapun dalam melaksanakan perkara itu pihak berkaitan hendaklah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) terkini yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkifli Mohamad berkata, semua majlis ilmu yang lazim diadakan di masjid, Surau Jumaat dan surau seperti Kuliah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, Dhuha, kelas fardhu 'ain, kelas pengajian al-

Quran dan lain-lain boleh diadakan bermula minggu ini.

"Ia boleh diadakan dengan syarat SOP dipatuhi berdasarkan keluasan masjid, Surau Jumaat atau surau.

"Pihak Jawatankuasa Kariah Masjid, Surau Jumaat dan surau bertanggungjawab untuk memastikan semua SOP yang digariskan, dapat dipatuhi sebaiknya," katanya.

Beliau berkata, bagi pelaksanaan solat berjemaah, pagar masjid, surau Jumaat dan surau juga disarankan untuk tidak dikunci pada waktu selain daripada waktu solat (sebagaimana yang ditetapkan dalam SOP sebelum ini) bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat terutamanya bagi mereka yang bermusafir dan penghantar makanan, barangan dan pemandu e-hailing.

"Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri, maka, dalam melaksanakan perkara di atas muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri.

"Saya ingin menyeru semua umat Islam di Malaysia untuk kembali mengimarahkan masjid, Surau Jumaat dan surau," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 12:05pm
    d