mutakhir

395 Pati warga Filipina diusir

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SERAMAI 395 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina diusir pulang pagi tadi melalui Pelabuhan Sandakan.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, Pati terbabit dihantar terus ke Zamboanga, Filipina.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran Pati sepanjang tahun ini seramai 4,751 orang.

"Sebelum diusir, semua tahanan menjalani ujian saringan Covid-19 dan penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pengusiran Pati Filipina terbabit juga ditangguhkan sejak Mac lalu susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan oleh kerajaan Filipina bagi mengekang wabak Covid-19.

"MKN Sabah merakamkan penghargaan kepada kerajaan Filipina kerana memberikan pengecualian bagi membolehkan pengusiran dijalankan.

"Selain itu, mereka juga memudahkan proses ini terutamanya dalam menanggung sendiri kos ujian saringan terhadap Pati Filipina.

"Namun, MKN Sabah berharap kerajaan Filipina dapat mempertimbangkan supaya proses pengusiran dapat dibuat bukan berdasarkan tempoh selang masa 15 hari, sebaliknya dilaksanakan mengikut daerah atau wilayah asal PATI," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 3:06pm
    d