mutakhir

Ingkar PKPP: 15 ditahan kerana aktiviti sukan sentuh

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SERAMAI 15 individu yang melakukan aktiviti sukan sentuh antara ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keseluruhan seramai 77 individu ditahan kerana ingkar arahan PKPP.

Menurutnya, daripada jumlah itu 13 individu direman manakala 64 individu lagi dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar PKPP selain aktiviti sukan sentuh ialah aktiviti di kelab malam membabitkan penahanan 12 individu dan 50 individu lagi melanggar prosedur operasi standard (SOP)," katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-109 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ke-24, hari ini.

Katanya, secara keseluruhan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuat 69,023 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

"Sebanyak 4,316 Pasukan Pematuhan membabitkan 16,897 anggota membuat pemantauan di pasar raya, restoran, penjaja, kilang, bank dan pejabat kerajaan.

"Pemantauan turut dilakukan di terminal pengangkutan darat, air dan udara," katanya.

Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, Ops Benteng yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) terus mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (Pati).

Beliau berkata, 66 sekatan jalan raya dilakukan di seluruh negara dan memeriksa 35,704 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati terutamanya di lorong tikus.

"Hasil pemeriksaan menahan sembilan warga asing kerana kesalahan imigresen," katanya.

Katanya, kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 3:25pm
    d