mutakhir

Penyakit zoonosis turun sepanjang PKP [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

AMALAN kebersihan kendiri yang tinggi diterapkan oleh masyarakat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyumbang kepada penurunan jumlah kes penyakit zoonosis di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penyakit zoonosis adalah penyakit berjangkit yang berlaku antara haiwan dan manusia seperti leptospirosis (kencing tikus), rabies, brucellosis, Japanese Encephalitis (JE), Q Fever dan Malaria Knowlesi.

"Penyakit ini boleh disebabkan oleh pelbagai patogen penyakit seperti virus, bakteria, kulat dan parasit. Setiap tahun dijangkakan satu daripada tiga orang di dunia akan dijangkiti penyakit zoonosis.

"Jika dibandingkan prevalens penyakit zoonosis tahun-tahun sebelum ini, didapati terdapat penurunan kes penyakit ini," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurut rekod, sehingga Jun lalu, penyakit leptospirosis mencatatkan 1,484 kes berbanding 5,217 tahun lalu; rabies (dua berbanding enam kes); brucellosis (tiada kes berbanding 10), JE (tujuh berbanding 36), Q Fever (tiada kes pada 2020 dan 2019) dan Malaria Knowlesi (1,16 berbanding 3,222).

Dr Noor Hisham berkata, sempena sambutan Hari Zoonosis Sedunia 2020, Kementerian Kesihatan (KKM) berharap pembabitan orang ramai dalam pencegahan penyakit zoonosis dapat dipertingkatkan.

Katanya, rakyat boleh mengamalkan kebersihan kendiri yang tinggi dengan kerap mencuci tangan dengan sabun dan air bersih terutamanya selepas mengendalikan haiwan, selain melindungi diri daripada digigit nyamuk, pinjal dan kutu.

"Selain itu, elakkan daripada digigit atau dicakar oleh haiwan, selain memasak, menyimpan dan kendalikan makanan dengan cara yang betul, selamat serta pastikan daging atau bahan mentah lain dimasak secukupnya sebelum dimakan.

"Masyarakat juga perlu memastikan aktiviti riadah atau rekreasi dilakukan di tempat yang diselenggara dengan baik serta dalam keadaan bersih," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 6:56pm
    d