mutakhir

Tidak perlu kuarantin jika rentas Sarawak, negeri lain

Oleh Rafidah Mat Ruzki

SEMUA pihak termasuk guru yang mahu memasuki Sarawak dari Sabah atau Semenanjung tidak perlu lagi menjalani kuarantin 14 hari di rumah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana semua perjalanan rentas sempadan negeri sudah dibenarkan termasuk membabitkan negeri Borneo itu.

"Mungkin pada peringkat awal ketika diumumkan, keadaan tidak mengizinkan, maka perlu ada kuarantin di rumah di sana.

"Tetapi sekarang ini tidak ada. Keadaan di Sabah dan Sarawak sudah terkawal... tidak ada lagi isu seperti dulu, kes banyak dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, mereka berkemungkinan disaring secara rambang di lapangan terbang.

Ismail Sabri berkata demikian mengulas permintaan guru dari semenanjung dan Sabah yang mahu Kerajaan Persekutuan membuat persetujuan bersama dengan kerajaan Sarawak bagi memendekkan tempoh kuarantin di rumah, sebaik mereka tiba di negeri terbabit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 3:43pm
    d