mutakhir

787 kuarantin wajib di rumah, 6 positif Covid-19

Oleh BERNAMA

SERAMAI 787 daripada 793 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dari Australia, Indonesia, Singapura, Qatar, Myanmar, Filipina, Taiwan, India, Laos, China dan Hong Kong semalam diperintah menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selebihnya enam individu dibawa ke hospital.

"Seramai 139 individu masuk melalui pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Pelabuhan Pasir Gudang dan feri Pasir Gudang dan kesemua diperintah untuk menjalani kuarantin di rumah.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut melakukan 1,178 pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah dan mendapati kesemuanya mematuhi arahan ditetapkan," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh 10 Jun sehingga semalam, Kementerian Kesihatan membuat saringan terhadap 17,152 individu di pintu masuk KLIA.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 17,080 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing, manakala 72 individu lagi didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 2:12pm
    d