mutakhir

19 tapak binaan ditutup tak patuh SOP

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menutup 19 tapak binaan di seluruh negara setakat semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam juga CIDB memeriksa sembilan tapak binaan di seluruh Malaysia yang membabitkan 15 penguat kuasa.

"Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB mendapati semuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,990 tapak binaan manakala 525 tapak binaan lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 37 individu atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai lima individu direman manakala 32 individu dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (seorang individu), aktiviti dengan membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (16 individu) serta aktiviti yang melanggar SOP (20 individu).

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM jugatelah membuat 65,253 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 2,762 Pasukan Pematuhan yang membabitkan 12,343 anggota membuat pemantauan di 3,974 pasar raya; 5,607 restoran serta 1,315 penjaja; 1,079 kilang; 3,718 bank dan 740 pejabat kerajaan.

"Sebanyak 1,120 terminal pengangkutan darat, 252 terminal pengangkutan air serta 121 terminal pengangkutan udara juga dipantau oleh Task Force Operasi Pematuhan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 2:28pm
    d