mutakhir

Had 2,000 orang sehari lalui Tambak Johor, Link Kedua [METROTV]

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling

KEMUDAHAN Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) akan dihadkan kepada 2,000 orang sehari melalui Tambak Johor dan Link Kedua bagi tujuan rentas sempadan ke negara jiran, Singapura.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain itu 400 orang akan dibenarkan menggunakan Laluan Hijau Timbal Balik iaitu untuk tujuan rasmi dan perniagaan penting setiap minggu.

Katanya, had pengguna kedua-dua kategori kemudahan rentas sempadan ini akan dikaji dan dipertimbangkan untuk penambahan dari semasa ke semasa bergantung kepada jumlah kes Covid-19 dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan serta proses keluar masuk hanya akan diumumkan secara terperinci sepuluh hari sebelum tarikh itu.

"Terdapat dua lagi kategori iaitu membenarkan perjalanan rentas sempadan setiap hari atas tujuan kerja yang dijangka membabitkan seramai kurang 200,000 rakyat kedua-dua negara.

"Untuk kategori ketiga dan keempat, kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum ia boleh dilaksanakan. Ini berkait rapat soal keselamatan dan kesihatan memandangkan situasi Covid-19 jelas belum reda," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, setakat pagi hari ini kerajaan menerusi Wisma Putra dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan berjaya membawa pulang seramai 23,955 rakyat Malaysia yang terkandas di 82 buah negara akibat penularan Covid-19.

Katanya, sehingga semalam, masih terdapat 317 orang rakyat yang diklasifikasikan sebagai terkandas di 37 negara.

"Daripada jumlah yang terkandas ini, 191 orang dikategorikan sebagai berada dalam situasi kritikal. 189 orang adalah jemaah tabligh rakyat Malaysia masih berada di India.

"Seramai 157 berada di New Delhi, 23 di Chennai dan sembilan di Mumbai," katanya.

Hishammuddin berkata, ketika ini Wisma Putra sedang menyelaras usaha membawa pulang semua jemaah tabligh berkenaan menerusi pesawat sewa khas pada 17 Julai 2020.

Katanya, mereka yang dikategorikan sebagai berada dalam situasi kritikal adalah rakyat Malaysia yang berada di luar negara bagi tujuan jangka masa pendek seperti melancong, membuat lawatan perniagaan, khidmat profesional, melawat ahli keluarga dan lawatan keagamaan.

Dalam isu lain, beliau berkata, tiada lagi kapal perang China berada di perairan Laut China Selatan setakat ini.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dengan kapal dari China yang sebelum ini berada di perairan negara ini.

"Bagaimana cara kita lakukannya, itu antara kita dan kerajaan China. Pendirian kita jelas, kita tak kompromi, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 2:49pm
    d