mutakhir

Bekalan barangan keperluan cukup - Ismail Sabri

Oleh Redzuan Muharam

BEKALAN barangan keperluan mencukupi, mudah diperoleh dan mampu menampung permintaan dalam negara yang berterusan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ia berdasarkan pemantauan harian dijalankan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

"Pegawai penguat kuasa sudah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 684 premis perniagaan termasuk 514 peruncit, 145 pemborong dan 25 pengilang.

"Turut dijalankan 1,560 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati 1,548 premis daripadanya patuh, manakala sembilan premis diberi nasihat dan tiga lagi menerima amaran kerana melanggar SOP," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 126,781 premis diperiksa KPDNHEP sejak 13 Mei lalu dan daripada jumlah itu 119,433 premis patuh kepada SOP manakala 5,497 premis lagi sudah diberi nasihat.

"Manakala, sebanyak 297 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

"Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 3:56pm
    d