mutakhir

Hukuman lebih berat langgar PKPP [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad dan Raja Noraina Raja Rahim

PENGUATKUASAAN undang-undang dengan denda lebih berat akan dikenakan terhadap individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran itu berikutan terdapat rakyat Malaysia pulang dari luar negara tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, kerajaan masih mengawal ketat pintu masuk antarabangsa memandangkan kes positif Covid-19 banyak berlaku dalam kalangan mereka yang pulang atau tiba dari luar negara.

"Antara langkah diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah melakukan saringan suhu badan dan gejala jangkitan saluran pernafasan semasa ketibaan, menyemak keputusan saringan PCR Covid-19 yang dilakukan tiga hari sebelum pelawat berlepas ke Malaysia, merujuk kes bergejala atau dikesan positif ke hospital.

"Selain mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari, memastikan setiap orang tiba di Malaysia memuat turun aplikasi MySejahtera, mewajibkan pemakaian gelang dan memastikan mereka menjalani ujian pengesanan Covid-19 pada hari ke-13 kuarantin di rumah sebelum diberi pelepasan pada hari ke-14," katanya menerusi Perutusan Khas Perkembangan Terkini PKPP yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Muhyiddin turut mengingatkan individu pulang dari luar negara supaya menjalani kuarantin di rumah dengan berdisiplin.

Jika perlu, katanya, kerajaan akan menempatkan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara di pusat kuarantin untuk mengawal kes import dengan lebih berkesan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 5:04pm
    d