mutakhir

Waris Anna Jenkins serah DNA kepada polis

Oleh BERNAMA

ANAK lelaki kepada wanita warga Australia, Anna Jenkins yang dilaporkan hilang pada 2017 kini berada di Pulau Pinang bagi menyerahkan sampel untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kepada polis.

Ia susulan penemuan tulang manusia di sebuah kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, Georgetown pada 24 Jun lalu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan misteri kehilangan wanita itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki itu tiba di Pulau Pinang minggu lalu dan kini menjalani kuarantin selama 14 hari sehingga 29 Julai ini di sebuah hotel di Georgetown.

"Pada mulanya, pihak keluarga wanita itu mahu menghantar sampel DNA mereka untuk dibuat perbandingan, namun pada minggu lepas anak lelakinya memaklumkan dia akan datang ke sini (Pulau Pinang) untuk beri sampel berkenaan.

"Sebaik sampel DNA diperoleh, Jabatan Kimia Pulau Pinang akan memberi keutamaan dan melaksanakan ujian dengan segera," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan dan Ikrar Bulanan Polis Kontinjen Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Penemuan tulang, longgokan pakaian dan barangan peribadi yang dipercayai milik mangsa ditemukan seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada 4 petang, 24 Jun lalu.

Ia ditemukan berselerak kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir wanita itu dilaporkan kelihatan di Jalan Scotland.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, pihaknya sudah menghantar gambar kesemua barangan mangsa, antaranya berus gigi, beg, lambang salib, pakaian dalam, baju, skirt, kasut, cermin mata dan kad akses hotel kepada ahli keluarganya di Australia bagi ujian pengecaman.

"Gambar-gambar itu telah dihantar kepada mereka dan setakat ini ahli keluarga mangsa memaklumkan barangan yang ditemui adalah milik wanita itu. Cuma sekarang, polis tunggu ujian DNA bagi menentukan identiti mayat tersebut.

"Setelah semua prosedur perbandingan DNA selesai, dan sekiranya disahkan mangsa adalah Anna Jenkins, maka polis akan teruskan siasatan untuk mengetahui punca kematian dan bagaimana wanita itu boleh sampai ke situ," katanya menambah kawasan itu sebelum ini adalah hutan dan milik tanah persendirian.

Pada 13 Disember 2017, Jenkins, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja hotel memesan perkhidmatan e-hailing untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lancang selepas selesai rawatan.

Wanita itu meminta pemandu menurunkannya berdekatan lampu isyarat di Jalan Scotland dan demi keselamatan, pemandu menurunkan mangsa berhampiran sebuah sekolah.

Sejak itu dia dilaporkan hilang dan laporan polis dibuat oleh suaminya.

Berita berkaitan

'Mungkin tulang dan baju milik Annapuranee?'

Polis tunggu sampel buat perbandingan DNA

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 2:15pm
d