mutakhir

Kelas online: 36.9 peratus murid tak ada peranti

Oleh Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Pendidikan mengakui wujud jurang digital dalam kalangan murid luar bandar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata, ia kerana sebahagian murid tidak memiliki peranti bersesuaian bagi membolehkan pembelajaran dapat diikuti dengan berkesan.

Katanya, maklumat itu diperoleh hasil Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian yang dilaksanakan kementerian antara 28 Mac hingga 2 April lalu.

Beliau berkata, kajian itu membabitkan 670,118 responden terdiri daripada ibu bapa kepada 893,331 murid, yang mana enam peratus murid mempunyai komputer peribadi; 9.3 peratus (memiliki komputer riba); 5.8 peratus (tablet) dan 46.5 peratus (telefon pintar).

"Terdapat juga murid yang memiliki lebih daripada satu peranti bagi kegunaan pembelajaran secara dalam talian.

"Namun, terdapat 36.9 peratus murid tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai usaha dilakukan bagi memastikan murid luar bandar dan pedalaman tidak tercicir sepanjang PKP akibat jurang digital.

Radzi berkata, aspek tahap akses Internet terhad juga menjadi antara cabaran besar kerana pembelajaran tidak dapat berlaku secara menyeluruh dan seragam kepada semua murid.

"Selain itu, pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian adalah sesuatu yang baharu untuk kebanyakan guru, murid dan ibu bapa, justeru mereka masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kaedah baharu ini," katanya.

Beliau berkata, bagi membantu kumpulan murid yang tidak mempunyai akses kepada talian Internet dan alat peranti bersesuaian, kaedah 'Homebased Learning' turut dilaksanakan melalui siaran TV Pendidikan.

Katanya, siaran dilaksanakan melalui saluran TV Okey dan saluran Tutor TV Astro.

"Guru turut melaksanakan pengajaran dan pembelajaran melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid terutama yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.

"Serahan bahan ini dibuat melalui pelbagai kaedah seperti perkhidmatan pos, bantuan penghantaran oleh Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan kaunter pandu lalu di sekolah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 10:27am
    d