mutakhir

Wajib daftar dan hadir

Oleh Ruwaida Md Zain

UMAT Islam di Selangor wajib mendaftarkan diri untuk solat Jumaat dan wajib mendirikan solat Jumaat sebaik mendapat pengesahan kehadiran.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, umat Islam wajib solat Jumaat berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, dengan kehadiran mengikut kapasiti sebenar jemaah di Masjid dan Surau Kebenaran Jumaat.

"Sehubungan itu, umat Islam yang memenuhi syarat mendirikan solat Jumaat mesti mendaftar atau berusaha untuk hadir menggunakan kaedah yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Bagi mereka yang mendapat pengesahan kehadiran untuk mendirikan solat Jumaat adalah wajib hadir bagi menunaikan kewajipan solat Jumaat.

"Oleh itu, berdosalah sekiranya dengan sengaja tidak hadir tanpa sebarang uzur syarie atau dengan sengaja memberikan pengesahan terbabit kepada orang lain," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Mohd Tamyes berkata, sekiranya terdapat keuzuran maka hendaklah dikembalikan pengesahan kehadiran itu kepada pihak Masjid atau Surau Kebenaran Jumaat untuk diisi oleh jemaah lain yang menunggu giliran.

"Bagi Masjid atau Surau Kebenaran Jumaat di kawasan yang jemaahnya tidak melebihi jumlah maksimum, maka ahli kariah yang memenuhi syarat mendirikan Solat Jumaat di kawasan itu wajib hadir Solat Jumaat mengikut kaedah yang ditetapkan oleh Masjid atau Surau Kebenaran Jumaat sekalipun tiada jemputan.

"Pihak Masjid dan Surau Kebenaran Jumaat hendaklah memastikan maklumat pendaftaran kehadiran solat Jumaat sampai kepada semua ahli kariah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 6:40pm
    d