mutakhir

Penduduk Kuching bersedia kemungkinan PKP

Oleh Mohd Roji Kawi

SITUASI seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan, 18 Mac lalu kelihatan di Kuching hari ini, apabila orang ramai mula membuat pembelian barangan dalam kuantiti yang banyak di beberapa pasar raya utama.

Ia berikutan kebimbangan PKP akan dilaksanakan semula selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan Kuching sebagai satu-satunya Zon Merah Covid-19, malam tadi.

Tinjauan di beberapa pasar raya mendapati orang ramai mula membeli barangan keperluan harian dalam kuantiti yang banyak, sebagai persediaan untuk menghadapi kemungkinan situasi pandemik itu bertambah serius.

Seorang pengawal keselamatan pasar raya di Batu Kawa yang hanya mahu dikenali sebagai Safuan berkata, jumlah pengunjung meningkat hari ini, namun keadaan masih terkawal dan tiada kesesakan berlaku di dalam premis berkenaan.

"Pengunjung tidaklah terlalu ramai, tetapi apa yang saya perhatikan kebanyakan mereka membeli barang dalam kuantiti yang banyak.

"Saya percaya ia berikutan mereka bimbang PKP akan dilaksanakan," katanya.

Seorang pengunjung, Cecilia Tan, 56, pula mengakui beliau membeli barang sebagai persediaan jika PKP dikuatkuasakan semula.

"Dulu kita pernah melalui PKP dan sudah tahu macam mana sukarnya untuk membeli barang keperluan. Walaupun pasar raya dibuka ketika itu tetapi kita yang takut untuk keluar.

"Pengalaman itu membuatkan saya lebih bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan kerana Kuching kini sudah diisytihar sebagai zon merah," katanya.

Malam tadi, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengumumkan Kuching diisytiharkan sebagai Zon Merah selepas mencatatkan 41 kes Covid-19, setakat 12 tengah hari, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam maklumbalas ringkas kepada media hari ini mengesahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengadakan mesyuarat khas petang ini bagi membincangkan perkembangan terkini Covid-19.

"Mesyuarat itu dijangka akan mengambil masa yang lama dan sebarang keputusan yang dicapai memerlukan sokongan KKM untuk diwartakan bagi penguatkuasaan," katanya ringkas menerusi mesej yang dihantar oleh Setiausaha Akhbarnya, Edward Stephen.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 4:23pm
    d