mutakhir

14 pemilik premis ingkar PKPP dikompaun

Oleh Nur Izzati Mohamad

SERAMAI 14 pemilik premis perniagaan di Kepala Batas dikenakan kompaun RM1,000, semalam selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat mematuhi arahan ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19.

"Dalam operasi pemantauan yang diadakan di sekitar premis di Kepala Batas,Tasek Gelugor, Mak Mandin dan Telok Air Tawar didapati masih ada lagi individu yang ingkar pada arahan yang ditetapkan.

"Sehubungan itu, tindakan kompaun terpaksa dikeluarkan terhadap 14 pemilik premis perniagaan supaya mereka beringat dan tidak mengulangi kesilapan yang sama," katanya dalam kenyataan, di Kepala Batas, hari ini.

Antara kegagalan pemilik premis mematuhi SOP PKPP adalah tidak mengambil suhu pelanggan dan mencatat butiran pelanggan yang masuk ke premis mereka.

"Polis ingin menasihatkan dan mengingatkan kepada masyarakat setempat terutamanya pemilik premis supaya tidak mengambil mudah serta terus berasa selesa dengan situasi sekarang.

"Seperti sedia maklum, pelaksanaan penggunaan pelitup muka juga berkuatkuasa bermula hari ni, justeru pemantauan yang lebih ketat akan dilaksanakan oleh seluruh petugas pasukan pematuhan SOP PKPP bagi memastikan tiada pelanggaran SOP berlaku," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 10:50am
    d