mutakhir

MPK sedia bincang had pengunjung pantai Teluk Cempedak

Oleh Asrol Awang

MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) sedia berbincang dengan polis untuk mengehadkan jumlah pengunjung ke Teluk Cempedak, Kuantan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, cadangan itu dianggap bertepatan untuk kebaikan dan keselamatan pengunjung pantai peranginan berkenaan.

"MPK memberi fokus utama untuk memastikan semua pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam menyekat pandemik terbabit.

"Langkah terbaik ialah memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan fizikal dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan polis bahawa wujud keperluan untuk mengehadkan jumlah pengunjung ke pantai Teluk Cempedak.

Langkah itu perlu dalam usaha mengawal penularan semula Covid-19 serta memastikan orang ramai memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam berkuat kuasa 1 Ogos lalu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali dipetik berkata, langkah itu bertujuan untuk menyekat jumlah pengunjung yang terlalu ramai berada di pantai peranginan itu pada satu-satu masa.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 3:01pm
    d