mutakhir

Kompaun RM1,000 terlalu drastik: Peka

Oleh Mohd Rafi Mamat

TINDAKAN kerajaan mengenakan kompaun RM1,000 terhadap individu yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam dianggap terlalu drastik.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab Kadir berkata, dalam kes ini kerajaan seharusnya memberikan amaran keras terlebih dahulu dengan merekodkan mana-mana individu yang ingkar menerusi satu pangkalan data.

"Jika individu terbabit didapati ingkar buat kali kedua selepas nama mereka ada dalam pangkalan data itu, tindakan kompaun adalah wajar bagi memberikan pengajaran kepada mereka yang dianggap degil dan ingkar.

"Tindakan terus mengenakan kompaun adalah tidak adil terutama kepada individu yang kurang berpendapatan, sudahlah terbeban ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kena bayar pula kompaun RM1,000," katanya, di Kuantan, hari ini.

Pemakaian pelitup muka diwajibkan 1 Ogos lalu di pengangkutan awam serta kawasan awam sesak.

Zuhairi berkata, Peka beranggapan sekiranya pematuhan tindakan kompaun itu hendak dilaksanakan, biarlah ia benar-benar ditempat awam yang mempunyai jumlah orang yang ramai.

"Jika di tempat awam yang tidak ada orang pun pihak berkuasa hendak saman... apa sebenarnya yang ingin dikejar oleh mereka.

"Tindakan berkenaan seolah melepaskan geram dan yang mangsa rakyat," katanya yang akur dengan peraturan dikeluarkan kerajaan.

Menurutnya, diharapkankerajaan dapat mempertimbangkan cadangan Peka itu supaya ia tidak membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Katanya, rakyat negara ini dilihat mematuhi peraturan dikeluarkan kerajaan, hanya sebahagian kecil sahaja yang bersikap degil dan mungkin terlupa dengan normal baharu.

"Saya berpendapat tidak salah kita beri muka sedikit pada rakyat negara ini, orang asing boleh pula kita beri muka, kenapa tidak rakyat sendiri," katanya yang berharap masyarakat dapat mematuhi peraturan kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 11:35am
    d