mutakhir

Kluster Sivagangga: Pasar malam, pasar pagi tidak boleh beroperasi

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PASAR tanpa premis di Kubang Pasu dan Padang Terap tidak dibenarkan beroperasi sehingga 30 Ogos ini dalam usaha kerajaan negeri memutuskan rantaian Covid-19 di daerah terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, ia merangkumi pasar malam, pasar pagi dan pasar seumpamanya yang berada di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) dan Majlis Daerah Padang Terap (MDPT).

"Pasar terbuka ini tidak dibenarkan beroperasi di seluruh daerah terbabit disebabkan peniaganya bergerak daripada satu daerah ke daerah lain.

"Jika kita tidak mengeluarkan arahan ini, ia boleh meningkatkan risiko jangkitan ke daerah lain pula," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Tadbir Urus Pihak Berkuasa Tempatan di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, perniagaan atau perkhidmatan perlu di empat mukim yang berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang sahaja.

Katanya, arahan itu hanya khusus untuk premis di Mukim Hosba, Mukim Ah, Mukim Binjal (Padang Terap) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap) sahaja.

"Premis perniagaan ini antaranya membabitkan premis menjual keperluan harian, restoran dan farmasi.

"Untuk premis perniagaan makanan, pelanggan hanya dibenarkan untuk membungkus, pandu lalu dan penghantaran sahaja dengan makan secara hidangan tidak dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, premis perniagaan yang membabitkan aktiviti sukan dalaman seperti gimnasium dan badminton termasuk gelanggang berpremis juga tidak dibenarkan beroperasi.

"Ini termasuk taman awam serta pusat rekreasi sama ada terbuka atau tertutup.

"Selain daripada di mukim ini, pengusaha premis atau taman awam dan pusat rekreasi boleh beroperasi seperti biasa," katanya.

Kerajaan semalam mengumumkan PKPD Temco dilaksanakan di empat mukim terbabit susulan penularan pandemik Covid-19 berpunca daripada kluster Sivagangga yang setakat ini sudah menyebabkan 20 kes positif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 7:10pm
    d