mutakhir

'Dayana baru 10 hari nikah'

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SEORANG daripada guru yang maut dalam kemalangan di Kampung Kijang berhampiran Jambatan Merotai di Tawau, hari ini baru melangsungkan pernikahan pada 27 Julai lalu.

Dayana Damsah, 27, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Umas maut di tempat kejadian selepas kereta dinaiki bersama tiga rakan guru hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan, sebelum terhumban ke tebing sungai.

Ibu mentua mangsa, Pujiah Narusin 56, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tawau berkata, dia dimaklumkan menantu terbabit kemalangan pada 7.50 pagi.

"Saya mendapat panggilan daripada anak, Nurhan Ayub, 27, (suami mangsa) memaklumkan Dayana terbabit kemalangan dan meminta ke hospital segera.

"Ketika itu kami cuma dimaklumkan ada mangsa terkorban, namun identiti belum dapat dikenal pasti sehinggalah pengecaman dibuat ahli keluarga," katanya.

Menurutnya, arwah Dayana dan suaminya melangsungkan pernikahan pada 27 Julai lalu dan majlis kenduri dibuat di kediaman sebelah pihak perempuan di Kampung Pasir Putih, dekat Tawau pada hari sama.

"Pihak kami (pengantin lelaki) pula baru saja selesai mengadakan kenduri Sabtu lalu di Kampung Muhibbah, sebelum Nurhan (suami Dayana) pulang bertugas di Kemaman, Terengganu petang semalam," katanya yang masih terkejut dengan kejadian menimpa menantunya itu.

Suami Dayana yang juga seorang jurutera sebuah syarikat minyak dan gas di Kemaman Terengganu, dijangka tiba di Tawau lewat petang, hari ini.

Dalam kejadian itu juga, seorang lagi rakan mangsa, Nurizyani Kafli@Masri, 24, turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tawau.

Dua lagi rakan sekerja mereka, Hasnaini Paiori dan Nur Zairah Aladin cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tawau.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi kawasan sekitar Unit Perubatan Forensik Hospital Tawau apabila ramai rakan dan ahli keluarga yang hadir tidak dapat menahan sebak sebaik mayat mangsa tiba.

Difahamkan ketika kejadian kesemua mereka dalam perjalanan ke sekolah.

Berita berkaitan:

  • Dua guru maut, dua parah
  • Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 3:03pm
    d