mutakhir

Henti kelulusan pembukaan kebun

Oleh Ramli Ibrahim

MASYARAKAT Orang Asli di Lojing, Gua Musang mendesak kerajaan negeri menghentikan kelulusan tanah pembukaan kebun sayur di kawasan kampung mereka.

Ini bagi mengelakkan anak gadis kaum itu diganggu lelaki warga asing dan terus menjadi mangsa gantung tidak bertali selepas berumah tangga.

Penghulu Kampung Sendrop Andol Busu berkata, ibu bapa kaum berkenaan tidak lagi mampu mengawal anak gadis mereka menjadi buruan lelaki hidung belang itu.

Katanya, kini kampung itu padat dengan kebun sayur diusahakan syarikat swasta yang mengambil lelaki warga asing sebagai pekerja.

Menurutnya, penduduk sukar menghalang pembukaan kebun itu kerana tanah yang diusahakan bukan milik Orang Asli tempatan.

"Tengoklah sendiri kebanyakan rumah penduduk Orang Asli keluar sahaja pintu rumah, terus masuk ke kebun sayur.

"Sampai bila kami perlu hidup dengan keadaan begini dan tanah-tanah ini belum diwartakan untuk dimiliki Orang Asli," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro mendedahkan lebih 100 wanita Orang Asli di sekitar Lojing berumah tangga dengan lelaki warga asing hingga memperoleh beberapa anak.

Daripada jumlah itu, kira-kira 50 wanita terbabit digantung tidak bertali selepas suami mereka yang antaranya warga Indonesia, Bangladesh dan Pakistan pulang ke negara asal.

Sementara itu, penduduk Orang Asli, Tijah Aming, 52, berkata, apabila kebun sayur itu dibuka secara meluas, ada kebebasan pekerja asing bergerak.

Katanya, ibu bapa kaum itu kadangkala terpaksa berkawal di sekitar kampung kerana bimbang anak gadis diganggu lelaki warga asing.

"Kita benar-benar mengharapkan kerajaan negeri mengehadkan kelulusan tanah baharu bagi tujuan itu kerana pekerja lelaki warga asing boleh jadi 'besar kepala'," katanya.

Berita berkaitan

Perlu peranan semua pihak

'Kami serik'

Lebih 50 ditinggalkan suami warga asing

Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 3:34pm
d