mutakhir

Sanglang bakal dikenakan Temco?

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PERLIS mempertimbangkan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Sanglang dan daerah lain jika jumlah kes Covid-19 di negeri itu bertambah.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata, sebanyak 10 kes dikesan positif, semalam membabitkan sekeluarga di Sanglang yang dikaitkan dengan kluster PUI Sivagangga di Napoh, Kubang Pasu, Kedah.

Katanya, pihaknya akan menghantar perakuan kepada Sekretariat Bencana Persekutuan bagi memastikan langkah keselamatan dapat diambil termasuk cadangan pelaksanaan Temco.

"Kes terkini itu membabitkan individu pelbagai peringkat usia, seawal tiga tahun hingga warga emas dan mereka semua tinggal serumah. Kementerian Kesihatan sedang berusaha mengenal pasti kontak rapat keluarga ini.

"Manakala 560 penduduk di Kampung Kuala Sanglang dan 312 di Kampung Tanah Timbul akan diminta menjalani ujian saringan.

"Jadi keputusan sama ada pelaksanaan Temco di Sanglang hanya akan diketahui dalam masa terdekat, memandangkan ada pesakit yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang," katanya dalam sidang media khas di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.

Mengulas keperluan pelaksanaan Temco di kawasan tertentu di Perlis, Azlan berkata, buat masa ini pihaknya menumpukan kawasan di Sanglang dahulu.

Beliau meminta penduduk di kawasan itu bersedia mental dan fizikal sekiranya Temco dilaksana selain berjaga-jaga dan mematuhi arahan.

"Cuma keputusan untuk menutup dua sekolah berkenaan belum diputuskan dan hanya akan diketahui dalam masa terdekat. Fokus kita sekarang kenal pasti kontak pesakit melalui saringan," katanya.

Sehingga semalam, dua kes positif Covid-19 sudah dilaporkan di Perlis membabitkan kawasan di Sanglang dan Padang Siding menjadikan jumlah keseluruhan 20 kes sejak Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 2:09pm
    d