mutakhir

9 individu ingkar arahan kuarantin rumah sudah diambil tindakan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

SEHINGGA semalam, seramai sembilan individu sudah dikenakan tindakan selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) arahan kuarantin wajib di rumah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan terhadap sembilan individu itu susulan pemeriksaan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap 1,445 individu yang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing (home quarantine).

"PDRM bersama petugas KKM akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 9,498 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 58 hotel dan lima institut latihan awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak, Perlis, Kedah, Labuan dan Johor.

"Daripada jumlah itu, seramai 20 individu dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan 1,896 individu sudah didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Semalam, kerajaan menerusi Mesyuarat Khas Menteri bersetuju menurunkan caj penginapan di ILA bagi mengurangkan beban rakyat negara ini yang perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebaik tiba dari luar negara.

Sebelum ini, kerajaan mengenakan caj RM150 sehari untuk mereka yang dikuarantin di lima ILA dan 58 hotel terpilih seluruh negara, namun selepas diteliti caj penginapan di ILA akan diturunkan kepada RM100, hanya caj bagi hotel masih kekal RM150.

Dalam pada itu, PDRM melaksanakan 65 sekatan jalan raya menerusi Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 27,200 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutamanya lorong tikus.

"Menerusi operasi sama, seramai 2,931 pati, 625 tekong serta 167 penyeludup ditahan bersama 122 bot dan 303 kenderaan yang terbabit dalam cubaan menceroboh sempadan negara sejak 1 Mei sehingga semalam.

"Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 3:55pm
    d