mutakhir

Dua ditahan gagal patuh arahan kuarantin wajib

Oleh Suraya Roslan

WALAUPUN peringatan sudah diberikan berulang-kali, namun masih ada segelintir rakyat masih tidak patuh terhadap arahan kuarantin wajib di rumah seperti ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua individu dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam pemeriksaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Menurutnya, sehingga semalam, sebanyak 1,559 pemeriksaan terhadap individu yang diarahkan menjalani kuarantin rumah secara wajib selama 14 hari dijalankan di seluruh negara.

"Seramai 9,984 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 61 hotel dan lima institut latihan awam (ILA).

"Daripada jumlah itu, seramai 20 individu dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan 2,200 individu sudah didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, kerajaan menerusi Mesyuarat Khas Menteri bersetuju menurunkan caj penginapan di ILA bagi mengurangkan beban rakyat yang perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebaik tiba dari luar negara.

Sebelum ini, kerajaan mengenakan caj RM150 sehari untuk mereka yang dikuarantin di lima ILA mahu pun di 58 hotel terpilih seluruh negara, namun selepas diteliti caj penginapan di ILA akan diturunkan kepada RM100 semalam namun caj bagi hotel masih kekal RM150.

Dalam pada itu, PDRM menahan 182 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Daripada jumlah itu, seramai 18 individu direman, manakala dua lagi dijamin dan 162 individu dikompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan termasuk 11 ditahan melakukan aktiviti karaoke tanpa lesen, tidak mengikuti SOP (36), tidak memakai pelitup muka (17), aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (100) dan dua kerana melanggar perintah kuarantin," katanya.

Menurutnya, PDRM melaksanakan 70 sekatan jalan raya menerusi Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 33,335 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutama di lorong tikus.

Katanya, menerusi operasi sama, PDRM berjaya menahan 10 individu atas kesalahan imigresen.

"Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 3:56pm
    d