mutakhir

Penduduk Mukim Tawar akur jika Temco dilaksanakan

Oleh Safuri Kamarudin.

PENDUDUK Mukim Tawar akur sekiranya kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) susulan kewujudan Kluster Tawar.

Rata-rata penduduk memahami tindakan itu demi memastikan wabak Covid-19 tidak menular sekali gus menjamin keselamatan mereka.

Peniaga, Wan Piah Abdul Rahman, 60, berkata Beliau berkata, dia yakin penduduk faham dan tidak keluar sesuka hati berbanding sebelum ini kerana bimbang dijangkiti wabak Covid-19.

"Saya sendiri juga membuat persediaan membeli keperluan dapur sekiranya kerajaan melaksanakan Temco di sini," katanya.

Katanya, dia sendiri awal- awal lagi ke Klinik Kesihatan Tawar untuk menjalani saringan selepas diarahkan pihak berkuasa.

"Setakat ini keadaan masih terkawal dan ramai penduduk sudah ke Klinik Kesihatan Tawar untuk menjalani saringan dan tinggal di dalam rumah," katanya.

Manakala A Maniwell, 53, berkata apa-apa keputusan kerajaan keluarkan mesti dipatuhi penduduk kerana ia adalah soal keselamatan dan kesihatan.

"Kalau kerajaan umum untuk melaksanakan Temco, penduduk kena akur dan patuh setiap arahan kerana ia untuk kebaikan semua," katanya.

Dia yang juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi Mukim Tawar turut menasihatkan penduduk membuat saringan kesihatan di klinik berdekatan.

Hari ini lebih 300 penduduk di empat kampung dalam Mukim Tawar menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Tawar.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 4:55pm
    d