mutakhir

Tak patuh SOP: Dua restoran, sebuah kopitiam diarah tutup

Oleh Nur Izzati Mohamad

DUA restoran makanan segera dan sebuah kopitiam terkenal di Kepala Batas diarah tutup selama tujuh hari kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Ops Bersepadu Pemantauan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, peningkatan kes Covid-19 mendorong polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan pemantauan yang bermula 4 petang bagi memastikan pemilik premis mengikuti SOP.

"Pemantauan hari ini menumpukan kepada premis restoran makanan segera dan kopitiam yang sering menjadi tumpuan orang ramai berkunjung.

"Kita mahu memastikan bahawa setiap SOP dilaksanakan premis berkenaan bagi mengelak wabak menular dan hasilnya didapati tiga tidak mematuhi arahan lalu diberikan notis penutupan selama tujuh hari selain kompaun RM1,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu, polis bersama KKM turut mengeluarkan enam notis amaran kepada pemilik restoran segera lain supaya dapat memperbaiki SOP sekiranya tidak mahu diambil tindakan kelak.

"Rata-rata SOP yang gagal dipatuhi pemilik restoran makanan segera dan kopitiam ialah penjarakan fizikal.

"Tambahan pula, restoran serta kopitiam ini menjadi tumpuan orang ramai pada setiap masa dan keadaan ini amat berbahaya jika tidak ditangani segera," katanya.

Seramai 22 anggota termasuk pegawai polis serta KKM terbabit dalam operasi pemantauan itu yang berlangsung hampir empat jam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 10:02pm
    d