mutakhir

Pengarah, anggota penguat kuasa MBSA digantung tugas [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah menggantung tugas Pengarah dan anggota Jabatan Penguatkuasaan yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, prosedur itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan SPRM.

Menurutnya, penggantungan tugas itu adalah prosedur biasa bagi penjawat awam yang sedang berdepan dengan mana-mana siasatan.

"Setakat ini tiada rombakan dalaman cuma tugas mereka yang sedang disiasat akan digantikan pegawai lain untuk sementara waktu.

"Ini adalah prosedur biasa bagi penjawat awam (yang sedang disiasat) dan mereka akan diberikan tugas lain," katanya ketika ditemui dalam Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh-MBSA, di Sungai Buloh, hari ini.

Pada masa sama, Haris sekali lagi menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Beliau berkata, MBSA tidak akan melindungi pegawai dan kakitangannya yang didapati terbabit dalam sebarang salah laku.

Semalam, SPRM menahan Pengarah Jabatan Penguat kuasa MBSA bagi membantu siasatan berhubung kes melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian.

Sebelum ini, tujuh penguat kuasa MBSA Cawangan Sungai Buloh turut ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan tidak berlesen termasuk pusat perjudian di sekitar Sungai Buloh.

Semua yang ditahan kini direman untuk siasatan lanjut susulan penularan video mengenai kegiatan premis perjudian dan rokok seludup sekitar Bandar Baru Sungai Buloh oleh peniaga burger, Asri Janggut atau nama sebenarnya Mohd Asri Hamid.

Pengasas Hot Burger Malaysia itu menerusi Facebook minggu lalu membongkar kegiatan itu yang didakwa terus beroperasi sejak beberapa tahun lalu kerana dilindungi pihak berkuasa.

Berita berkaitan

Pengarah Penguat Kuasa MBSA direman 6 hari

Pengarah Jabatan Penguatkuasa MBSA ditahan SPRM

Tiga penguat kuasa MBSA ditahan

Wang pelincir makan bulan

4 penguat kuasa MBSA, penjual rokok seludup direman seminggu [METROTV]

Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 11:46am
d