mutakhir

PRK Slim: Pelaksanaan Temco perlu mendapat nasihat KKM

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SEBARANG keputusan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) susulan Kluster Sala di Kedah perlu mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak semestinya setiap kali kluster baharu dikenal pasti kerajaan akan melaksanakan Temco di kampung dan daerah ketika itu kerana KKM mempunyai kaedahnya.

"Setakat ini tiada arahan (melaksanakan Temco di seluruh Kedah) melainkan KKM maklumkan ia perlu dan baru kita akan umumkan serta menyenaraikan apa perkara yang boleh dan tidak sebelum mengeluarkan perintah Temco.

"Katakan sebuah rumah itu kena (dijangkiti) seluruh keluarga, kita hanya lihat di rumah itu dan bawa mereka ke hospital untuk ujian calitan serta periksa kontak rapat mereka," katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim di Slim River, hari ini.

Bagaimanapun katanya, KKM akan berbincang dengan negeri-negeri terlebih dahulu jika Temco akan dilaksanakan.

"Kalau PKPD bukan secara pentadbiran kemudian kita wartakan, kalau secara pentadbiran Ketua Pengarah (KKM) boleh mengeluarkan arahan berdasarkan keadaan.

"Sebelum keputusan dibuat, KKM akan menentukannya dahulu, kita buat penilaian keperluan itu dan kalau perlu kita akan buat (tetapi) setakat ini belum lagi," katanya.

Semalam media melaporkan KKM mengenal pasti satu kluster baharu iaitu Kluster Sala di Kedah.

Sehingga kini, Kedah mencatatkan empat kluster CovidD-19 iaitu Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Muda dan Kluster Sala membabitkan daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Baling, Kuala Muda dan Yan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 3:32pm
    d