mutakhir

Ini adalah keputusan Allah - pengetua tahfiz

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

"IA (keputusan) sudah tertulis sejak di Luh Mahfuz lagi, ini adalah keputusan Allah, keputusan mahkamah adalah keputusan terbaik buat semua pihak," kata Pengetua Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood.

Beliau berkata, bagi pihak pusat tahfiz itu, dia sudah lama memaafkan semua pelaku mengakibatkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz terbabit.

"Sejak awal lagi, saya sudah berjumpa ibu serta bapa pelaku dan kita sudah lama memaafkannya, kita serah pada Allah, Insya-Allah akan dipermudahkan.

"Saya mendoakan supaya kita semua diberikan taufik dan hidayah kerana satu hari nanti kita semua pasti akan kembali kepada Allah," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Zahid berkata, apa yang penting kini adalah bagi mengelakkan kejadian sama berulang di mana-mana pusat tahfiz.

"Sebab itu kini di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah sudah mula buat yang terbaik dan akan akan perbaiki segala kelemahan.

"Pihak tahfiz akan peka dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, mensabitkan seorang remaja lelaki bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, hampir tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman penjara terhadap remaja itu yang kini berusia 19 tahun sehingga mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Keputusan itu dibuat selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tragedi kebakaran menyayat hati yang berlaku 5.15 pagi 14 September 2017 menyebabkan 21 pelajar dan dua warden maut, selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan.

Berita berkaitan

''Saya maaf dan doakan dia' - ibu mangsa kebakaran tahfiz'

'Timbalan Pendakwa Raya sebak'

'Remaja bakar tahfiz dipenjara hingga dapat pengampunan Agong [METROTV]'

Disiarkan pada: August 17, 2020 @ 5:00pm
d