mutakhir

Pasang CCTV di laluan didakwa dicurah minyak [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk menempatkan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Persiaran Tujuan di susur keluar Subang Jaya dari Lebuhraya Persekutuan susulan tular dakwaan lokasi berkenaan dicurah minyak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, pihaknya juga mungkin akan mencadangkan Kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi arahan had kelajuan ditetapkan di situ.

Menurutnya, video yang tular di media sosial membabitkan pemandu wanita terbabit yang didakwa kerana ada tumpahan minyak itu mengundang pelbagai persepsi netizen dan penduduk di kawasan itu.

"Insiden itu berlaku pada 17 Julai lalu dan mangsa juga sudah memberi keterangan memberitahu terbabit dalam kemalangan kerana mengelak lopak air.

"Kita bukan hendak nafikan isu minyak tetapi berdasarkan fakta dan keterangan diberikan oleh mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui membuat tinjauan di lokasi terbabit bersama pegawai teknikal MPSJ dan jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling, hari ini.

Risikin berkata, pihak MPSJ juga akan mengambil langkah memasang papan tanda amaran kawasan kemalangan dan had laju dibenarkan di kawasan terbabit.

"Bagaimanapun pengguna jalan raya yang menggunakan laluan itu dinasihatkan tidak memandu laju bagi mengelak berlaku kemalangan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis menafikan kemalangan membabitkan sebuah kereta di Lebuhraya Persekutuan berhampiran susur Subang Jaya disebabkan ada pihak mencurah minyak di kawasan terbabit.

Video berdurasi enam saat itu tular dan mendakwa lokasi berkenaan dicurah minyak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Berita berkaitan

Kemalangan bukan disebabkan ada orang curah minyak di jalan raya

Disiarkan pada: August 17, 2020 @ 6:27pm
d