mutakhir

Belum cadang TEMCO di Kuala Perlis

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KERAJAAN negeri belum mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di Kuala Perlis.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya ketika ini masih memantau situasi terkini Covid-19 di negeri itu bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis.

"Setakat ini, saya difahamkan masih satu kes sahaja yang dilaporkan di Kuala Perlis tetapi kita belum tahu lagi keputusan penuh dan JKN masih memantau keadaan.

"Buat masa ini, kita masih belum lagi mengemukakan sebarang cadangan untuk TEMCO," katanya ketika dihubungi di Kangar hari ini.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan 31 kes Covid-19 dengan 12 daripadanya masih aktif membabitkan Kluster Sivagangga selain satu kes positif baharu dilaporkan di Kuala Perlis.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, secara keseluruhan keadaan di Perlis masih terkawal dan tiada kewujudan kluster baharu Covid-19 dikesan.

"JKN akan meneruskan pemantauan bersama urusetia keselamatan dalam negeri iaitu Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Perlis.

"Jika ada bukti menunjukkan penularan, kerajaan negeri akan menyerahkan perakuan kepada Kerajaan Persekutuan untuk tindakan lanjut termasuk pelaksanaan TEMCO," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 2:55pm
    d