mutakhir

Nak buka juga, kan dah kena

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PUSAT urut di Dataran Sunway, Kota Damansara di Petaling Jaya yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan beroperasi tanpa kebenaran dan mengaji pekerja warga asing diserbu polis semalam.

Serbuan pada 4.30 petang itu dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dalam Op Noda dan pelanggaran SOP PKPP.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menahan seorang wanita berusia 27 tahun yang dipercayai sebagai penjaga kaunter premis.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui lima lelaki dan empat wanita warga asing berusia 18 hingga 48 tahun disyaki tukang urut yang sedang menunggu pelanggan di dalam bilik berasingan.

"Suspek pertama ditahan kerana mengaji pekerja warga asing tanpa permit.

"Tukang urut juga ditahan atas faktor sama ketiadaan permit sah selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta melanggar syarat PKPP.

"Polis turut merampas sekeping kertas catatan jadual kerja semua suspek.

"Suspek pertama direman selama sehari manakala yang lain direman 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 (pindaan 2002)," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 4:53pm
    d