mutakhir

Restoran Ali Maju terima kebenaran buka semula premis

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

RESTORAN Ali Maju Cawangan Wisma Rampai di Kuala Lumpur yang diberi notis penutupan susulan dua pekerja disyaki positif Covid-19 dibenarkan operasi semula.

Pemilik rangkaian Restoran Ali Maju Sdn Bhd, Datuk Dr Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya menerima notis kebenaran buka semula oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, ia sekali gus menyelesaikan kontroversi penutupan premis itu akibat dua pekerja yang disyaki positif Covid-19, Sabtu lalu.

"Sebelum ini cawangan restoran di Wisma Rampai menjalani ujian secara rawak oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang kemudiannya mengarahkan penutupan restoran kerana pekerja terbabit disyaki positif.

"Kesan daripada mesej yang tular, pengurusan menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai berhubung situasi sebenar yang berlaku serta menjejaskan perniagaan di semua cawangan Restoran Ali Maju," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua cawangan restorannya disanitasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Katanya, dengan pembukaan semula cawangan itu bermakna semua rangkaian restoran beroperasi seperti biasa.

"Sebagai komitmen serta teladan kepada pekerja, saya sendiri sudah menjalani saringan Covid-19 sebanyak dua kali dan Alhamdulillah, didapati negatif.

"Saya juga meminta pengusaha restoran agar terus komited dengan pelaksanaan SOP ditetapkan kerajaan dalam usaha menangani penularan wabak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 9:44pm
    d