mutakhir

77 individu ditahan ingkar PKP

Oleh Redzuan Muharam

SERAMAI 77 daripada 86 individu yang ditahan polis, semalam dikompaun atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala lapan lagi direman.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 56,760 dijalankan, semalam menerusi Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, ia membabitkan sebanyak 2,484 Pasukan Pematuhan terdiri daripada 11,435 anggota.

"Pemantauan dijalankan di di 3,809 pasar raya, 5,054 restoran serta 1,340 penjaja, 1,209 kilang, 3,742 bank dan 674 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau adalah 1,110 terminal pengangkutan darat, 203 terminal pengangkutan air dan 98 terminal pengangkutan udara," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, dua individu warga asing ditahan atas kesalahan imigresen dalam Operasi Benteng ,semalam.

Katanya, tangkapan itu hasil pemeriksaan terhadap 32,279 kenderaan menerusi 63 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng di seluruh negara bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong tikus.

"Operasi itu membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI.

"Ia bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 5:33pm
    d