mutakhir

Kedai saya bukan premis judi

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

"SAYA bukan hanya mengalami kerugian akibat ikan mati, malah perniagaan juga terjejas kerana kedai saya dianggap premis judi," kata pemilik kedai ikan hiasan, M Naveen Kumar, 40.

Premis Naveen antara yang dipotong bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu operasi dijalankan polis daerah Petaling Jaya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) bagi mengekang aktiviti perjudian, semalam.

Katanya, dia dipandang serong segelintir individu disebabkan salah faham mengenai premisnya menawarkan aktiviti perjudian dalam talian.

"Saya mengetahui kejadian ketika mahu membuka kedai di Taman Medan pada jam 12.30 tengah hari. Pada mulanya saya menyangka kedai dimasuki pencuri kerana mangga jeriji dipotong.

"Namun, peniaga berhampiran memaklumkan terdapat kumpulan anggota penguat kuasa melakukan operasi pemotongan bekalan elektrik di kedai saya kira-kira jam 9 pagi.

"Saya memeriksa kedai dan mendapati puluhan ikan sudah mati. Saya segera menghubungi TNB untuk membuat sambungan semula dan membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Naveen yang mengusahakan perniagaan sejak dua tahun lalu berkata, berikutan insiden itu beliau mengalami kerugian antara RM3,000 hingga RM4,000.

"Sebelum ini, premis tingkat bawah memang ada menjalankan aktiviti permainan komputer manakala premis saya di tingkat satu.

"Tapi premis itu dah lama tutup sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) selepas penduduk sekitar buat aduan," katanya.

Ditanya mengenai aduan kepada TNB susulan kejadian itu, Naveen berkata, pihak TNB sudah menghubunginya dan satu pertemuan akan diadakan esok.

Katanya, sama ada dia akan memulakan saman sivil terhadap pihak berkaitan berikutan kerugian dialami akan diputuskan selepas pertemuan itu.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan, polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang peniaga kedai ikan hiasan yang mendakwa bekalan elektrik di premisnya dipotong pihak berkuasa menyebabkan menanggung kerugian besar.

Ketua Polis Daerah petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilaporkan berkata, premis peniaga itu terletak di tingkat atas manakala premis disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian beroperasi di tingkat bawah dipercayai punca tersilap membuat pemotongan.

Berita berkaitan

TNB akan jumpa pemilik

TNB tersilap membuat pemotongan - Polis

Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 8:36pm
d