mutakhir

7 premis diarah tutup langgar SOP

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEBANYAK tujuh premis makanan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 susulan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Pantai Awam Jason Bay, Kuala Sedili, Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, sepasukan anggota polis Task Force Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan operasi bermula jam 4 petang hingga 7 malam, Sabtu lalu di lokasi berkenaan.

Katanya, ketika operasi dijalankan, pihaknya mendapati kesemua premis gagal mematuhi SOP ditetapkan KKM untuk mencegah penularan pandemik Covid-19.

"Ini kerana tiada kawalan pintu keluar masuk premis, tiada saringan suhu pekerja dan tiada rekod buku disinfeksi premis.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati ada premis tidak mengamalkan penjarakan fizikal di dalam kawasan premis.

"Kesemua premis sudah diarahkan tutup oleh KKM mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta 342 sebelum kompaun bernilai RM1,000 dikeluarkan mengikut Perkara 10, Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.7) 2020," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, polis memberi amaran keras dan tidak akan berkompromi dengan premis yang melanggar SOP bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 7:12pm
    d